Kulim: Wang gaji RM7,500 milik lapan pekerja warga asing yang baru diterima lesap dilarikan sekumpulan penyamun termasuk seorang mangsa cedera akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun di sebuah tapak pembinaan rumah kedai di Taman Ehsan, dekat sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi apabila sekumpulan 10 lelaki muncul di kawasan tapak projek terbabit lalu menyamun lapan warga asing terdiri daripada tiga warga Bangladesh dan lima warga Myanmar serta seorang rakyat tempatan berusia 19 hingga 54 tahun.

Sumber berkata, dalam kejadian terbabit, tangan semua mangsa diikat ke belakang dan mereka diarahkan meniarap ke lantai manakala seorang mangsa warga Myanmar cedera di bahagian muka akibat terkena senjata tajam kerana cuba melawan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad ketika dihubungi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 04-4916999 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:56 AM