TREN LRT yang terbakar di Stesen LRT Setiawangsa.
TREN LRT yang terbakar di Stesen LRT Setiawangsa.

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan dua kejadian kebakaran yang berlaku di bawah gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) berpunca kebocoran minyak brek LRT berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Pengarah Kumpulan Bahagian kereta api Prasarana Ahmad Nizam Mohd Amin berkata, kebocoran minyak brek itu menghasilkan percikan api semasa brek digunakan.

Beliau berkata, kejadian pertama berlaku jam 8.19 pagi semalam dan perkhidmatan LRT berjaya dipulihkan tidak lama kemudian.

Menurutnya, insiden kedua berlaku jam 12.18 tengah hari di Stesen LRT Universiti dan seramai 53 penumpang dipindahkan ke gerabak LRT lain sementara kerja pemadaman api dilakukan.

“Perkhidmatan kembali normal pada jam 12.35 tengah hari dengan menggunakan landasan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, Rapid Rail memohon maaf kepada pengguna LRT ekoran dua insiden yang berlaku membabitkan LRT empat gerabak milik mereka.

Katanya, insiden kegagalan brek berfungsi dengan baik adalah kejadian sama pernah berlaku pada Febuari lalu.

Pihak Prasarana sudah meminta syarikat pembuat gerabak LRT berkenaan mencari penyelesaian terhadap permasalahan brek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 8:12 AM