KEADAAN lori selepas terbabit kemalangan.
KEADAAN lori selepas terbabit kemalangan.

Muar: Empat lelaki meninggal dunia dengan badan seorang daripadanya terputus dua apabila sebuah lori membawa muatan daging beku dan jagung dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori kontena di Kilometer 141.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Pagoh di sini, semalam.

Kemalangan jam 5 pagi itu menyebabkan kedua-dua pemandu dan kelindan dua lori terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan daging beku itu dinaiki Clearance anak Juwad, 20, ditemani kelindan, Christope anak Kono, 20, kedua-duanya berasal dari Sarawak.

Katanya, mereka dalam perjalanan ke selatan sebelum lori itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan lantas memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori kontena membawa muatan barangan elektronik dipandu Ramlee Ishak, 42, dan kelindan, Sofian Ali, 38, tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit bertembung.

“Akibatnya, keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Buat masa ini kami belum pasti siapa yang memandu ketika kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Pegawai Kanan Bomba II Mohd Johar Tunin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.23 pagi sebelum satu jentera dan kenderaan bantuan kecemasan (ERMS) dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:40 AM