Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Selain minat dalam bidang masakan, wanita ini bertuah kerana dia turut mewarisi bakat memasak daripada ibunya. Sekian lama menikmati keenakan rojak buah yang disediakan ibu tercinta, timbul ilham untuk memperkenalkan resipi istimewa itu kepada orang lain.

Keinginan itu yang me­nyemarakkan tekad Nurulshima Mujahid, 29, untuk menjadikan rojak buah istimewa ciptaan ibu sebagai hidangan utama dalam perniagaan makanan yang di­usahakannya sejak bulan lalu.

Malah, wanita yang tidak kenal erti putus asa itu kini mampu tersenyum puas kerana hampir setiap hari hidangan rojak buah dan tauhu bakar menggunakan kuah istimewa yang disediakan­nya sendiri habis dibeli pelanggan setianya.

Menurut Nurulshima yang kini mengusahakan gerai rojak buah-buahan dan tauhu bakar Delicious di Jalan Kampung Jawa, Klang Selangor, pada mulanya dia tidak memandang serius untuk menjalankan perniagaan makanan itu kerana sudah memiliki pekerjaan tetap.

"Hampir setiap hari ibu bertanyakan mengapa tidak mahu menjalankan perniagaan berasaskan makanan ini sedangkan saya gemar memasak selain ibu juga mempunyai resipi kuah rojak istimewa.

"Selepas lama berfikir dan yakin baru saya memberanikan diri terbabit dalam perniagaan rojak buah dan tauhu bakar kerana pada mulanya saya bimbang tidak mampu membahagikan masa dengan baik," katanya.

Nurulshima berkata, ibunya, Rosnah Ali yang sudah berpindah ke Melaka juga membuka gerai makanan yang menjual rojak buah di Medan Selera Plaza Sungai Udang, Melaka sejak 2011.

"Kuah rojak kami memang istimewa kerana ia adalah resipi asli daripada ibu dan sebelum membuka gerai makanan kami sudah lama menjual kuah rojak saja di sekitar Lembah Klang sejak 2009.

"Memandangkan sambutan kuah rojak amat menggalakkan menyebabkan ibu yakin untuk membuka gerai makanan,"katanya.

Dia juga menambah kelainan dengan mencampurkan keropok dalam campuran buah-buahan menjadikan penjualan rojak buah diusahakannya menerima sambutan menggalakkan.

"Bagi mencari kelainan, saya menambah keropok tepung yang saya hasilkan sendiri ke dalam rojak buah-buahan. Ternyata ilham itu mendapat sambutan kerana ramai pelanggan yang mahu membeli keropok tepung itu saja untuk dimakan bersama kuah rojak.

"Syukur kerana walaupun saya berasa sedikit penat kerana perlu bekerja pada waktu pagi hingga petang sebelum membuka gerai bermula jam 6.30 petang hingga 11.30 malam namun saya berpuas hati dengan hasilnya. Saya juga gembira kerana akhirnya dapat membantu ibu meluaskan perniagaanya," katanya.

Nurulshima berkata, dia yang dibantu rakan seperniagaannya, Waheed Khan kini semakin tidak menang tangan untuk menyediakan permintaan daripada pelang­gan di gerai.

"Bagi saya apabila pelanggan berpuas hati dengan rasa rojak ataupun tauhu bakar yang kami sediakan pasti­nya mereka (pelanggan) akan datang semula.

"Apa yang saya penting­kan adalah kualiti rasa dan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan. Ini sebab­nya saya sentiasa berhati-hati dalam menyediakan resipi kuah rojak bagi memastikan ia sedap dan rasanya tidak berubah," katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, selain menjual di gerainya dia turut menerima tempahan rojak buah itu untuk sebarang majlis seperti maj­lis perkahwinan, jamuan makan malam atau sambutan hari lahir.

"Hidangan tauhu bakar adalah produk terbaru kami dan ia menggunakan kuah rojak yang sama namun ditambah dengan sedikit sayur-sayuran dan kacang tumbuk bagi menyedapkan lagi tauhu bakar itu.

"Saya sentiasa berusaha mencari sesuatu yang baru supaya ia boleh digabungkan atau dimakan bersama kuah rojak.

"Saya yakin kuah rojak kami antara yang terbaik dan mempunyai keunikan rasa yang mampu menarik perhatian penggemar rojak.

"Disebabkan itu, saya perlu berusaha lebih gigih dan sentiasa mencuba sesuatu yang baru dan berbeza untuk dimakan bersama kuah rojak resipi asli kami sekeluarga,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM