SELAIN sate ayam, daging dan perut, sate lidah antara yang mendapat sambutan.
SELAIN sate ayam, daging dan perut, sate lidah antara yang mendapat sambutan.
GERAI Sate padang milik Safrizal dan Yemrida di Kampung Baru.
GERAI Sate padang milik Safrizal dan Yemrida di Kampung Baru.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Sate antara makanan kegemaran rakyat tempatan dan mudah didapati di mana-mana saja.

Kebiasaannya ia dihidangkan bersama timun, bawang, nasi himpit dan kuah kacang dan menjadi juadah istimewa ketika mengadakan jamuan dan musim perayaan.

Namun, pernahkah anda menikmati atau mendengar hidangan sate padang?

Serasi dengan namanya, sate padang yang berasal dari seberang mempunyai kelainan dan keenakan tersendiri.

Safrizal Safiudin, 56, dan Yemrida Anas, 44, menjual sate padang di Kampung Baru sejak 22 tahun lalu.

Menurut Safrizal, pelanggan bukan saja terdiri daripada penduduk sekitar, malah seluruh negara.

“Walaupun sate padang jarang diperkatakan, bagi mereka yang sudah mencuba, pasti datang lagi dan mempromosikannya daripada mulut ke mulut.

“Justeru, tidak hairanlah jika ada pelanggan saya dari Johor, Kedah dan Pulau Pinang menjamu selera setiap kali mereka datang ke ibu kota,” katanya.

Sate padang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia dihidangkan dengan cara yang berbeza berbanding sate tempatan.

Berlapikkan daun pisang, sate padang turut dihidangkan dengan nasi himpit dan kuah yang kekuningan selain ditabur bawang goreng.

Kuahnya yang istimewa dan rasanya seakan-akan kuah soto itu dihasilkan daripada air rebusan daging selain ditambah bawang dan rempah yang ditumis.

Keistimewaan sate padang juga terletak pada dagingnya kerana ia direbus dulu sebelum dicampur perapan dan dibakar.

Dagingnya juga berbeza kerana dipotong nipis sebelum diperap dan dicucuk lidi sate selain tiada lemak.

Selain sate daging, Safrizal turut menawarkan variasi sate ayam, perut dan paling istimewa sate lidah yang jarang dapat ditemui.

Kuah kacang turut disediakan bagi memberi pilihan kepada pelanggan yang gemarkan kuah kacang berbanding kuah sate padang yang biasa.

Gerai sate padang milik Safrizal terletak di persimpangan Jalan Hassan Salleh, Kampung Baru. Ia dibuka dari jam 5 petang setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 11:20 AM