RUBIAH (tiga, kiri) melihat replika rumah yang dipamerkan selepas merasmikan Projek Perumahan PERDA Ventures Incoporated Sdn Bhd pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). FOTO BERNAMA
RUBIAH (tiga, kiri) melihat replika rumah yang dipamerkan selepas merasmikan Projek Perumahan PERDA Ventures Incoporated Sdn Bhd pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). FOTO BERNAMA
Siti Aminah Mohd Yusof

Tasek Gelugor: Kerajaan menyedari faktor harga rumah tinggi di Pulau Pinang menjadi antara penyebab penghijrahan penduduk asal negeri ini ke kawasan sempadan negeri Kedah dan Perak yang menawarkan harga rumah yang lebih rendah serta mampu dimiliki.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata antara kawasan terbabit ialah Parit Buntar, Perak iaitu sempadan bahagian Seberang Perai Selatan selain Bandar Baharu, Kulim, dan Sungai Petani di Kedah.

Beliau berkata penghijrahan itu mempunyai kesan sosiopolitik penduduk dan harus dibendung dengan kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) terus berusaha membangunkan perumahan yang mampu dimiliki masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah.

"Sehingga kini Perda berjaya menyiapkan sebanyak 10,048 unit perumahan bercampur melalui 24 projek yang dibangunkan sendiri dan empat lagi projek yang dilaksanakan secara usaha sama.

"Daripada jumlah itu sebanyak 5,395 unit adalah rumah kos rendah dan kos terendah," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perda 2023 di sini, hari ini.

Rubiah berkata berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Pulau Pinang merekodkan jumlah 3,593 unit hartanah kediaman tidak terjual iaitu kedua tertinggi selepas Johor bernilai RM2.74 bilion dengan kebanyakan berharga sekitar RM500,000 hingga RM1 juta dan ke atas.

Katanya, antara faktor hartanah kediaman tidak terjual ialah harga tidak sepadan, lokasi kurang menarik dan tawaran produk tidak bersesuaian dipercayai menjadi punca utama lambakan unit kediaman siap dibina tidak terjual di negara ini termasuk di Pulau Pinang.

"Oleh itu, tidak dapat tidak, khususnya kerajaan dan pihak pemaju perumahan swasta, perlu memikirkan solusi bagaimana harga rumah dapat dikurangkan atau lebih tepat lagi, kos membina rumah dapat diturunkan.

"Pemaju digesa mengkaji terlebih dulu segmen kediaman yang menjadi tumpuan rakyat dengan tidak hanya memikirkan keuntungan sebaliknya menyesuaipadankan harga kediaman dengan kehendak pembeli," katanya.

Terdahulu Rubiah melancarkan projek Taman Ara Suria dan Taman Ara Damai di sini yang juga usaha Perda bersama PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd yang menawarkan rumah mampu milik kepada orang ramai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 bilion.

Beliau berkata projek Taman Ara Suria adalah projek pembangunan bercampur terdiri daripada satu blok rumah pangsa kos rendah 15 tingkat membabitkan 127 unit kediaman, rumah teres setingkat (386 unit) dan 51 unit kedai serta pejabat dua tingkat dijangka siap penghujung 2024.

Manakala sebanyak 2,072 unit hartanah akan dibangunkan bagi projek Taman Ara Damai meliputi 1,450 rumah teres satu tingkat, 74 rumah kembar setingkat, rumah bandaran kos rendah dua tingkat sejumlah 468 unit selain 80 unit kedai serta pejabat dua tingkat dan dijangka siap pada 2025.

Beliau berkata harga rumah kediaman yang bakal ditawarkan bermula dari RM42,000 hingga RM350,000 mengikut jenis rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 4:18 PM