Kerja pembinaan jejantas yang runtuh Jumaat lalu di Jalan Genting-Klang dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan terperinci.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku dalam tempoh dua minggu.

“Kami perlu menunggu laporan daripada perunding serta polis untuk mengenal pasti punca berlakunya runtuhan itu sama ada daripada kecuaian kontraktor atau sebaliknya.

“Perkara ini wajar diberi perhatian serius kerana kami ada banyak lagi jejantas di ibu negara yang dibina untuk memberi kemudahan kepada pejalan kaki,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan diambil kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kontraktor yang ditetapkan.

“Difahamkan siasatan itu dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 8:09 AM