IKAN mati selepas Sungai Meru didakwa tercemar akibat pembuangan sisa dari sebuah kilang. FOTO BERNAMA
IKAN mati selepas Sungai Meru didakwa tercemar akibat pembuangan sisa dari sebuah kilang. FOTO BERNAMA
Balqis Jazimah Zahari


UNIT Inspektorat dan Penguatkuasaan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca berlaku pencemaran di Sungai Meru, Ipoh, semalam.

LGM menerusi kenyataan, hari ini, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak bagi menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggantung atau membatalkan lesen mana-mana premis berdaftar dengan LGM jika didapati melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 10(1)(g), LGM boleh menghendaki pemegang lesen untuk memberikan penjelasan (berhubung kejadian pencemaran).

“Jika LGM tidak berpuas hati, lesen pengusaha boleh digantung atau dibatalkan kerana mencemarkan imej baik industri getah,” katanya.

Menurutnya, LGM mengambil maklum isu pencemaran di Sungai Meru di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh seperti dilaporkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, semalam yang dipercayai berpunca daripada pelepasan sebuah kilang sarung tangan getah.

“LGM prihatin dan amat menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar sekali gus komited untuk mengawalselia kilang yang beroperasi secara berterusan khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Katanya, sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline LGM di 1-800-888-474 atau hotline Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) di 03-88803498 sepanjang PKP.

Portal berita Harian Metro, semalam melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan pencemaran di Sungai Meru itu dipercayai berpunca daripada pelepasan sebuah kilang sarung tangan getah di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat perkara itu.

Tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 8:05 PM