RUSLILI (kiri)  membaca komen positif dari pembaca Harian Metro yang prihatin dengan penderitaan dialami isterinya.
RUSLILI (kiri) membaca komen positif dari pembaca Harian Metro yang prihatin dengan penderitaan dialami isterinya.
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: “Ratusan komen yang diberikan pengguna laman sosial Facebook memberikan saya dan anak semangat untuk tabah dalam menghadapi dugaan ini.

“Saya berterima kasih kepada pembaca Harian Metro dan orang ramai yang prihatin dengan kesukaran dihadapi saya dan isteri,” kata Ruslili Usof, 35, suami kepada Noor Laila Razak, 33, yang selamat bersalin anak bongsu mereka walaupun dalam keadaan koma akibat penyakit radang otak sejak empat bulan lalu.

Nelayan yang juga bapa kepada empat anak itu berkata, anak bongsunya, Noor Shafikah yang berusia 20 hari kini sihat dalam jagaan ibunya, Rakmah Ali, 55.

Menurutnya, ramai saudara-mara dan kenalan dari jauh menghubunginya selepas tersiar penderitaan dihadapi isteri di Harian Metro, kelmarin.

Katanya, ramai antara mereka memberikan kata-kata semangat, malah pihak berwajib juga sudah datang ke rumah membincangkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarganya kelmarin.

“Saya sememangnya memerlukan bantuan dari segi kewangan bagi membiayai kos perjalanan dan menyara anak yang masih bersekolah.

“Pendapatan saya daripada hasil menangkap ikan tidak seberapa, tambahan pula sudah lama tidak turun ke laut.

“Jadi saya berterima kasih kepada saudara-mara dan penduduk kampung yang sudi menghulurkan sumbangan kepada kami sekeluarga bagi menampung perbelanjaan harian dan kos perjalanan ulang-alik dari rumah ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Ruslili berkata, ujian berat ditanggungnya sedikit terubat selepas membaca ratusan komen dalam laman sosial Facebook yang dimuat naik Harian Metro, sebelum ini.

Menurutnya, dia semakin bermotivasi untuk menghadapi dugaan selepas membaca kata-kata semangat yang diberikan pembaca akhbar ini.

“Saya akan terus menjaga isteri selagi jasad ini masih bernyawa dan kalau boleh teringin sangat melihat dia sedar daripada koma dan dapat bermain dengan Noor Shafikah,” katanya yang bergantung kepada ihsan penduduk kampung untuk meneruskan perjuangannya.

Orang ramai yang ingin membantu Ruslili dan isteri boleh menghubunginya di talian 013-9734903 atau datang terus ke rumahnya di Kampung Tengah, Merang, Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:29 AM