Dungun: Seorang wanita terpaksa dipujuk orang ramai apabila ketakutan selepas kereta dipandunya melanggar sebuah kereta lain sebelum kereta dilanggar itu merempuh cermin kedai runcit di sebuah stesen minyak, dekat Batu 49, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, semalam.

Wanita 40-an itu dikatakan memandu kereta Honda Accord dan memasuki stesen minyak itu untuk mengisi petrol, jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai tersilap tekan pedal minyak menyebabkan kenderaannya meluncur dan melanggar bahagian belakang Proton Iswara di depan.

Sumber berkata, ketika kejadian, pemandu Proton Iswara terbabit dikatakan sedang mengisi minyak dan terkejut mendapati kenderaannya itu meluncur sebelum melanggar cermin kedai runcit terbabit menyebabkan pintu kaca kedai itu pecah.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pemandu Honda Accord kemudian pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk membuat laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:33 AM