Sebuah kereta merempuh premis stesen minyak di Jalan Batu Anam, Gemas, di sini, petang tadi. FOTO ihsan pembaca.
Sebuah kereta merempuh premis stesen minyak di Jalan Batu Anam, Gemas, di sini, petang tadi. FOTO ihsan pembaca.
Ahmad Hasbi


Tampin: Tertekan kuat pedal minyak kereta menjadi punca seorang guru lelaki merempuh premis stesen minyak di Batu 1, Jalan Batu Anam, Gemas, di sini.

Dalam kejadian jam 3.40 petang semalam, rempuhan kuat itu menyebabkan cermin hadapan premis pecah selain kerosakan pada rak jualan di dalam kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 30-an tertekan pedal minyak ketika mahu mengisi petrol.

"Akibatnya kereta Proton Saga itu terbabas memasuki premis kedai serbaneka di setsen minyak itu. Difahamkan pemandu yang juga seorang guru ketika itu baru tiba dan mahu mengisi petrol.

"Kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki yang sedang membeli barang runcit di dalam premis itu mengalami luka kecil selain berlaku kerosakan dalam premis.

"Laporan polis sudah dibuat oleh pihak pengurusan stesen minyak itu dan kes masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 2:47 PM