Anggota bomba mencari mangsa yang terjun ke dalam sungai.
Anggota bomba mencari mangsa yang terjun ke dalam sungai.
Oleh Ayusliza Azizan

Klang: Tindakan seorang lelaki yang meninggalkan telefon bimbitnya sebelum terjun ke dalam sungai di Jambatan Kota, di sini, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu, malam kelmarin.

Lelaki terbabit dilihat terjun dari jambatan berkenaan jam 9.40 malam selepas dilihat mundar mandir di kawasan itu sebelum kejadian dan hilang dibawa arus sungai.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada saksi yang melihat lelaki berusia 30-an sedang berjalan di jambatan berkenaan lalu terjun ke dalam sungai.

“Operasi mencari mula dilakukan sejak malam kelmarin sejurus maklumat diterima, namun mayat lelaki terbabit tidak ditemui sebelum operasi ditangguhkan pada jam 12.30 tengah malam.

“Operasi mencari diteruskan pada jam 8 pagi dan ditangguhkan jam 5.10 petang tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sani berkata, operasi mencari dilakukan dalam jarak dua kilometer dari kawasan jambatan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Unit Skuba Bomba Shah Alam bersama Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat sudah ditangguhkan petang semalam, beberapa anggota bomba tetap ditempatkan di kawasan tebing sungai sekiranya mayat tersangkut di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada waris yang tampil serta pihak polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan orang.

Katanya, telefon bimbit berkenaan diserahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan, manakala operasi mencari akan diteruskan jam 8 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:01 AM