Johor Bahru: Kajian seismologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2000 meramalkan kawasan seterusnya berpotensi mengalami gegaran selepas Gunung Kinabalu adalah di Bukit Tinggi, Pahang yang kedudukannya berhampiran Kuala Lumpur.

Penyelidik Pusat Gempa Bumi dan Seismologi UTM Dr Mariyana Aida Ab Kadir berkata, berdasarkan rekod kajian UTM terhadap Bukit Tinggi pertengahan tahun lalu, berlaku gegaran bumi yang mencatatkan sehingga empat skala magnitud.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan UTM akan melancarkan kod reka bentuk bangunan yang memiliki ciri-ciri keselamatan termasuk kemampuannya menampung gegaran gempa bumi pada masa depan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kajian seismologi UTM, Mariyana Aida berkata, pada masa ini dua penyelidik dari Pusat Gempa Bumi dan Seismologi UTM yang diketuai oleh Prof Azlan Adnan dan rakannya Zamri Ramli berada di Ranau bagi menjalankan kajian menyeluruh.

Katanya, kumpulan itu sedang giat menjalankan tinjauan dan kajian menyeluruh kerosakan dan struktur bangunan kesan daripada bencana bumi itu.

“Hasil kajian akan dijadikan panduan berhubung keperluan dan perancangan pembangunan semula di kawasan Ranau,” katanya.

Mengenai kod reka bentuk bangunan berkenaan, beliau berkata, kajian terperinci berhubung kaedah itu sudah dilakukan dan mendapat perakuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Meteorologi.

Katanya, kaedah itu menggunakan ‘damper’ atau pelapik getah penyerap hentakan yang mampu menampung gegaran atau gerakan bumi bagi mengelakkan struktur bangunan rosak.

“Kajian berhubung kod ini sudah dilaksanakan sejak 2007 dan ia akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini bagi mengurangkan kesan kerosakan bangunan daripada gempa bumi.

“Kod ini berbeza-beza mengikut kekuatan pergerakan tanah berdasarkan kawasan berpotensi untuk menggunakan kaedah berkenaan,” katanya.

Katanya, penyelidikan itu mendapat bantuan geran sepenuhnya kerajaan sejak 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:01 AM