KAEDAH yang betul dalam pendidikan akan membuahkan kejayaan. - Gambar hiasan
KAEDAH yang betul dalam pendidikan akan membuahkan kejayaan. - Gambar hiasan
Oleh Hilmi Isa

Firman Allah pada surah Ali-Imran, ayat 134 antara lain bermaksud: “Dan orang- orang yang menahan marahnya dan orang-orang yang suka memaafkan orang lain dan Allah sangat suka kepada orang-orang yang berbuat baik.”

Sewaktu saya mula mengajar di sekolah, pengetua bertanyakan saya pengalaman mengajar murid di sekolah berkenaan.

Di tengah-tengah perbualan berkenaan, beliau berpesan: “Kalau kita garang, pelajar benci. Kalau tegas, pelajar sayang dan hormat.”

Pada mulanya saya tidak dapat membezakan dengan baik antara garang dan tegas. Bagi saya garang dan tegas sama saja.

Kemudian, barulah saya belajar ada perbezaan antara kedua-duanya.

Pendekatan lembut, tegas dan garang adalah pendekatan asas dalam pendidikan anak mahupun aspek kehidupan yang lain.

Menurut ilmu psikologi dan kaunseling, berikut adalah perbezaan antara lembut, tegas dan garang.

Lembut: Saya tak OK, anda OK.

Garang: Saya OK, anda tak OK.

Tegas: Saya OK, anda OK.

Pendekatan lembut dan garang adalah pendekatan ekstrem. Lembut adalah keterlaluan positif manakala garang adalah keterlaluan negatif.

Lembut menyebabkan perasaan kita merana kerana ingin menjaga perasaan anak remaja. Sebaliknya garang menyebabkan perasaan kita terjaga dan puas kerana dapat meluahkan segala kemarahan dalam jiwa manakala si anak mungkin memendam dendam dalam hati.

Keseimbangan antara kedua-dua garis hujung berkenaan adalah pendekatan tegas. Tegas membuatkan perasaan kedua-dua belah pihak terjaga.

Kekerasan mendatangkan kesan yang sebentar saja. Ketika si penguat kuasa ada, manusia akan berdisiplin. Ketika si penguat kuasa tiada, individu terbabit akan kembali kepada tabiat asal mereka.

Perhatikan pemandu di jalan raya. Apabila melihat pihak polis mengadakan sekatan jalan raya, mereka akan memandu dengan hati-hati dan berhemah. Jika polis tidak melakukan sekatan, adakah pemanduan mereka masih berhemah? Jarang-jarang sekali.

Sewaktu zaman saya belajar, saya mempunyai seorang rakan perempuan yang liar. Dia selalu berpeleseran dan ligat menunggang motosikal ke sana sini.

Kadangkala saya tertanya-tanya, bagaimana didikan yang diberi oleh ibu bapanya di rumah dan adakah perangainya di rumah adalah sama dengan perangainya di universiti?

Saya tergerak untuk bertanyakan soalan berkenaan kepada rakan baik saya yang tinggal berdekatan rumahnya. Saya terkejut mendengar jawapan yang rakan perempuan saya itu adalah seorang yang baik, menutup aurat dan bersopan santun ketika di rumah.

Menurut rakan saya, perbezaan watak rakan perempuan saya disebabkan ayahnya terlalu garang. Ayahnya terlalu keras dalam mendidik anak.

Tiada usaha untuk memberi kefahaman kepada anak, melainkan hanya memberi hukuman apabila mereka melakukan kesalahan. Jadi apabila ayahnya tiada, dia berubah wajah.

Cadangan saya kepada ibu bapa, periksa cara anda mendidik anak dan perangai anak anda ketika ketiadaan anda. Mungkin banyak sisi tersembunyi anak yang tidak anda ketahui.

Kajian pakar menunjukkan apabila ibu bapa selalu melakukan kekasaran terhadap anak remaja, kebiasaannya mereka akan memberontak.

Perbuatan seperti mencubit, merotan dan memukul dengan objek boleh dikategorikan sebagai pendidikan dengan cara keras.

Hampir-hampir tiada unsur pendidikan langsung dengan cara kekerasan jika tidak dilakukan dengan cara yang berhikmah.

Justeru, jadikan denda dan kekerasan sebagai jalan terakhir selepas segala usaha secara positif tidak menghasilkan perkara yang anda harapkan.

Penulis Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melalui Facebook Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 9:44 AM