Satu keluarga mengalami kerugian RM130,000 selepas empat kereta milik mereka dikhianat individu tidak dikenali mengakibatkan dua daripadanya hangus manakala dua lagi dipecahkan cermin dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Bukit Jana, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, ahli keluarga berkenaan terkejut mendapati dua kereta diparkir di luar rumah terbakar tiba-tiba.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintendan Ismail Che Isa berkata, dua kereta jenis Toyota Hilux dan Perodua MyVi terbakar manakala dua lagi jenis Proton Wira Aeroback dan Perodua Axia dipecahkan cermin.

Katanya, keluarga berkenaan yang berada dalam rumah pada waktu itu mendengar bunyi motosikal berhenti di depan rumah sebelum membuka pintu dan mendapati kereta mereka terbakar.

“Keluarga berkenaan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat dan api berjaya dikawal, namun kereta mereka musnah 90 peratus dan kerugian dianggarkan RM130,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:11 AM