FAHRIN menyarungkan cincin di jari isterinya selepas akad nikah.
FAHRIN menyarungkan cincin di jari isterinya selepas akad nikah.
Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kuala Lumpur: “Saya merahsiakan siapa isteri sebelum ini kerana mahu menjaga banyak hati terutama keluarga kedua-dua belah pihak,” kata aktor Fahrin Ahmad, 36, selepas majlis pernikahannya di Dewan Konvensyen Sime Darby, Mont Kiara, di sini, semalam.

Fahrin akhirnya mendedahkan wanita pilihannya, Elena Hani Eleas, 37, masih bujang dan bertugas sebagai Ketua Pramugari Emirates Airlines.

Pasangan ini dinikahkan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Shahriman Ali Pitchay dengan mas kahwin RM80 tanpa wang dan dulang hantaran. Mempelai hanya menyediakan sebentuk cincin untuk pasangan masing-masing.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan berahsia mengenai isteri, kata Fahrin, dia melakukannya kerana mahu memastikan pernikahan dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Ia terbukti apabila saya berahsia, segala dirancang berjalan lancar. Saya tahu dan faham kebanyakan daripada kita sangat suka perkara mendatangkan fitnah dan gosip. Saya cuba menghindarkan perkara seperti itu kerana tidak mahu ia mengganggu tumpuan kami untuk bernikah,” katanya.

Ditanya perasaannya apabila timbul gosip Fahrin dikaitkan dengan beberapa perempuan sebaik sidang akhbar dibuat terutama dengan Izreen, kata Elena, suaminya memaklumkan kepadanya terlebih dulu.

“Saya tinggal jauh di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan perhubungan kami berlangsung menerusi laman sosial. Begitupun dia selalu menghantar kepada saya segala perkembangan dirinya sama ada berkaitan kerja mahupun peribadi.

“Menerusinya saya tahu semua perkara mengenainya. Pada saya Fahrin lelaki yang saya kenal 18 tahun lalu dan bukan sekarang berstatus orang popular atau artis,” katanya.

Pasangan ini mengenali antara satu sama lain sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan undang-undang dan terputus hubungan 17 tahun lalu.

“Kami kembali berkenalan sewaktu masing-masing bertanya khabar dan tidak sangka ia membawa petanda untuk kami bertemu jodoh. Hubungan kami berlangsung bermula Ogos lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:21 AM