Putrajaya: Sebanyak 31 kes yang dikesan melanggar kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kini dalam senarai menunggu untuk proses pendakwaan di mahkamah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya kini menunggu kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara bagi menjalankan proses berkenaan selain melengkapkan kertas siasatan.

Beliau berkata, semalam, sebuah pasar raya terkemuka yang beroperasi di Bangi menjadi kes pertama di negara ini yang didakwa mengikut AKHAP 2011 berdasarkan pertuduhan mengambil keuntungan berlebihan bagi sekilogram bendi.

“Malah, ada dua lagi kes sama akan didakwa masing-masing di Mahkamah Sesyen Khas di Pulau Pinang hari ini dan Kota Bharu, Kelantan esok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Katanya, pihaknya mengakui bukan mudah untuk melakukan pendakwaan terhadap kesalahan mengikut AKHAP 2011 kerana perlu melengkapkan kertas siasatan.

Menurutnya, pihaknya mahu memberi peringatan kepada peniaga tamak supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan mengambil keuntungan yang melampau.

“Sejak pelancaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April lalu, bahagian penguat kuasaan KPDNKK menangani pelbagai aduan berkaitan peningkatan harga barang termasuk mengesan pengeluar, pembekal dan peniaga yang tidak beretika yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan memberi alasan GST,” katanya.

Katanya, sehingga kelmarin, 217,852 pemeriksaan dilakukan terhadap premis perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 10:27 AM