PEGAWAI KPDNKK memeriksa harga roti telur dalam Ops Harga di Bukit Jambul.
PEGAWAI KPDNKK memeriksa harga roti telur dalam Ops Harga di Bukit Jambul.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu sebuah restoran nasi kandar di Bukit Jambul, di sini, selepas mendapat aduan kenaikan harga roti telur daripada pelanggan restoran berkenaan, semalam.

Serbuan dilakukan jam 10.40 pagi itu membabitkan lima pegawai dan anggota KPDNKK negeri.

Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Chin Ching Chung berkata, operasi berkenaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna menerusi laman e-aduan.

“Kita mendapat aduan berhubung harga roti telur yang dinaikkan pemilik restoran berkenaan sejak April lalu.

“Harga roti berkenaan sebelum dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM1.80 namun ia dinaikan menjadi RM2.50 sebiji,” katanya kepada ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurut Chin, pemilik restoran berkenaan diberikan satu notis untuk memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga roti canai itu.

“Sekiranya pemilik restoran tidak menjawab notis berkenaan selepas tiga hari, dia akan didakwa mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Chin berkata, sekiranya pemilik restoran berkenaan melanggar peraturan harga, beliau turut akan didakwa mengikut Seksyen 14, AKHAP 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:19 AM