Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Walaupun baru berusia empat tahun dan terlalu kecil memahami apa-apa, anak kedua Yashmin Fauzi, 26, yang maut dipercayai dikelar penyamun dalam kejadian di Kampung Batu Papan, di sini, kelmarin masih boleh bercerita mengenai insiden itu.

Qhasri Adli Mohd Azrul meluahkan kejadian yang berlaku di rumah sewanya kepada datuknya, Isahak Deris, 51, tanpa berselindung.

Kanak-kanak itu berkata, “ada penjahat pukul ibu. Mereka letak parang di tengkuk ibu.”

Menurut Isahak, ayat itu diulang Qhasri Adli apabila ditanya kerana dia melihat jelas perbuatan penjenayah terbabit, disebabkan berada dalam bilik sama ketika kejadian.

“Selain Qhasri Adli, abangnya Ahmad Qhasri, 5, dan Qhasri Adam yang berusia empat bulan juga ada dalam bilik sama dengan Yashmin ketika kejadian dan masing-masing terjaga terdengar jeritan arwah.

“Sehingga sekarang mereka masih terkejut dengan apa yang terjadi. Ketika saya menemui mereka pagi itu, baju Qhasri Adli dipenuhi darah dipercayai sempat memeluk ibunya, manakala Ahmad Qhasri dan dan Qhasri Adam menangis.

“Berbanding abangnya, Qhasri Adli memang pandai bercerita dan pertuturannya pun lebih lancar. Dia yang memberitahu apa berlaku menyebabkan hati saya sayu mendengarnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Yashmin meninggal dunia dipercayai akibat dikelar penjenayah yang memecah masuk rumah sewa di Kampung Batu Papan, di sini jam 2.30 pagi kelmarin, ketika suaminya Mohd Azrul Isahak, 30, yang juga sukarelawan polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Mohd Azrul yang berasa tidak sedap hati dan hilang tumpuan ketika bertugas, meminta izin pegawainya pulang ke rumah seketika namun menemui isterinya dalam keadaan darah berlumuran di leher, tidak berpakaian dan keletihan di atas jalan, 100 meter dari rumahnya.

Mangsa meninggal dunia jam 6.40 pagi selepas empat jam menerima rawatan di bilik kecemasan Hospital Gua Musang (HGM) malah sempat memberitahu ‘petunjuk’ penting yang membawa kepada tangkapan suspek pertama.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dalam laporan semalam mengumumkan seorang suspek berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Isahak berkata, arwah Yashmin sempat menulis nota ringkas menyatakan nama panggilan suspek mengelar lehernya, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:51 AM