AHMAD Qushri (kanan), Qushri Adli (tengah) dan Qusri Adam melihat gambar arwah ibu mereka ketika ditemui di Kampung Batu Papan, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
AHMAD Qushri (kanan), Qushri Adli (tengah) dan Qusri Adam melihat gambar arwah ibu mereka ketika ditemui di Kampung Batu Papan, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


WALAUPUN sudah empat tahun tragedi ibu mereka mati dibunuh berlaku, namun tiga beradik ini tidak pernah berhenti mengajak datuknya ke kubur setiap pagi Jumaat.

Malah, Ahmad Qushri Mohd Arul, 9, Qushri Adli, 7 dan Qusri Adam, 5, yang tinggal di Kampung Batu Papan, Gua Musang sering meminta datuk, Ishak Deris, 67, supaya mengadakan tahlil lepas solat Isyak di rumah.

Ishak berkata, dia terpaksa ikut kehendak mereka bagi mengelak cucunya itu tidak terlalu sedih dan dapat melepaskan rindu kepada arwah ibu.

Katanya, Qusri Adam yang paling kerap bertanyakan ke mana ibunya selepas melihat rakan sebayanya mempunyai ibu.

“Setahun lalu, Qusri Adam kerap bertanya mengenai ibunya kerana ketika tragedi itu berlaku, dia baru berusia enam bulan namun hal sebenar diceritakan sendiri abangnya.

“Berikutan itu, saya kerap diajak ketiga-tiga cucu ke kubur ibu mereka yang terletak 500 meter dari rumah terutama pada pagi Jumaat setiap minggu untuk melepaskan rindu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim yang menyampaikan bantuan Aidilfitri.

Pada 1 Mac 2015, ibu mereka, Yashmin Fauzi, 26, ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan separa sedar di atas jalan oleh suaminya yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis bantuan.

Kejadian itu berlaku pada jam 2.40 pagi ketika Mohd Azrul Isahak, 34, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah.

Sebaik tiba di hadapan rumahnya, Mohd Azrul menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah di atas jalan raya akibat dikelar leher oleh seorang lelaki yang juga jirannya.

Mangsa ketika itu hanya tinggal bersama tiga anak lelaki yang masih kecil kerana suaminya mempunyai tugasan pada awal pagi itu.

Ishak berkata, seminggu selepas kejadian, tiga beradik itu masih mendakap kain selimut yang ada kesan darah ibu mereka kerana terlampau rindu.

“Mengambil masa hampir dua bulan juga untuk tiga beradik itu terutama anak sulung dan kedua untuk melupakan peristiwa kejam terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia turut merasai kehilangan menantunya itu walaupun sudah empat tahun berlalu dan dia sentiasa berada bersama tiga cucunya setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 4:25 PM