Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff (kiri sekali) menunjukkan Helang Merah yang dinamakan 'Mahawangsa' ketika mengunjungi Taman Hidupan Liar Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff (kiri sekali) menunjukkan Helang Merah yang dinamakan 'Mahawangsa' ketika mengunjungi Taman Hidupan Liar Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


MAHAWANGSA, singkatan daripada Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan susur galur pengasas Kedah dipilih sebagai nama burung Helang Merah yang dipelihara di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), Langkawi.

Nama untuk haiwan jinak yang dipelihara sejak kecil dan kini mencecah usia 15 tahun itu diperkenankan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika mencemar duli mengunjungi produk pelancongan itu, hari ini.

Terdahulu, baginda yang ditemani Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff tiba pada jam 10 pagi dan disambut Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengurus Besar THLL, Teoh Cheng Kung.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff.

Ketika ditemui, Teoh berkata, pihaknya sangat teruja apabila Sultan Kedah dan Sultanah Kedah berkenan mencemar duli mengunjungi taman itu yang kebetulan menyambut ulang tahun ke-15 pada tahun ini.

"Malah kunjungan diraja ini menjadi lebih bermakna apabila Tuanku sudi menamakan burung Helang Merah peliharaan kami yang juga dikenali Brahminy kite atau nama saintifiknya Haliastur indus sebagai 'Mahawangsa'.

"Tuanku turut berkenan melepaskan 15 burung Serindit sebagai gimik ulang tahun ke-15 taman ini selepas memulakan operasi pada 2002 dan kini muncul antara destinasi mesti lawat kepada pengunjung di pulau ini," katanya.

Katanya, THLL juga mendapat lima pengiktirafan portal pelancongan terbesar Tripadvisor.com selama lima tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013, 2015, 2016 dan tahun ini,selain Tempat Tarikan Pilihan Pelancong (2014).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 4:05 PM