Hamzah Osman

AKSI lima Fennec Fox memakan Yee Sang dan menyambar angpau yang digantung memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL), Pulau Langkawi, hari ini.

Acara unik dikendalikan kakitangan taman itu yang memakai kostum dewa berjaya menarik perhatian kira-kira 100 pengunjung yang terdiri daripada pelancong tempatan dan asing.

Tinjauan mendapati pengunjung yang berada dalam taman itu secara spontan memberi tepukan gemuruh selepas teruja menyaksikan gelagat haiwan yang turut dikenali Serigala Gurun itu.

Acara bermula 10 pagi menyaksikan haiwan dengan nama saintifiknya ‘Vulpes zerda’ berusia antara satu dan tiga tahun serta tergolong dalam keluarga anjing itu teruja mengunyah Yee Sang yang diberikan jurulatihnya.

Malah, aksi seekor daripadanya mendaki bongkah kayu sambil menyambar sampul angpau yang terjuntai setinggi kira-kira 0.5 meter menarik perhatian pengunjung.

Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL Nur Hamzani Hamzah berkata, idea melatih haiwan yang berhabitat semulajadi hidup di Gurun Sahara, Afrika itu dicetuskan sekumpulan kakitangan THLL.

"Fennec Fox dipilih sebagai gimik kerana ia tergolong dalam keluarga anjing (Canidae) bersesuaian sambutan Tahun Baru Cina mengikut kalendar Lunar tahun ini adalah giliran haiwan itu.

"Bagaimanapun, hanya seekor sahaja berjaya dilatih untuk gimik menyambar sampul angpau dan boleh memahami beberapa arahan mudah jurulatih, manakala selebihnya belum dapat melakukannya,” katanya.

Nur Hamzani berkata, pihaknya memiliki lima ekor Fennec Fox dengan dua daripadanya adalah induk, manakala tiga lagi dipelihara sejak kecil selepas dilahirkan di taman itu.

"Sehingga kini THLL yang beroperasi sejak 2002 memiliki koleksi 100 spesies haiwan.

"Taman ini juga telah mendapat lima pengiktirafan portal pelancongan, Tripadvisor.com selama lima tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013, 2015, 2016 dan 2017,selain Tempat Tarikan Pilihan Pelancong pada 2014," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 5:21 PM
GIMIK Fennec Fox atau Serigala Gurun menyambar sampul angpau menarik perhatian pengunjung dan memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi. FOTO Hamzah Osman
GIMIK Fennec Fox atau Serigala Gurun menyambar sampul angpau menarik perhatian pengunjung dan memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi. FOTO Hamzah Osman