Seremban: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kerajaan negeri dan lima lagi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu lelaki transgender Islam dibenarkan berpakaian wanita.

Beliau berkata, keputusan itu menunjukkan kes berkenaan mempunyai merit dan ada asas untuk dibicarakan.

“Pendapat saya, kebenaran panel hakim itu membuktikan kes itu mempunyai merit, jika tidak sudah tentu ia ditolak awal-awal lagi oleh jemaah hakim.

“Keputusan itu amat melegakan kerana kes berkenaan membabitkan banyak pihak dan kepentingan pihak tertentu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Kelmarin, panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pengarahnya, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama serta Ketua Pendakwa Syarie negeri untuk merayu dalam kes berkenaan.

Mahkamah turut membenarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menjadi pencelah.

Md Raus memerintahkan pihak berkenaan memfailkan hujahan bagi menjawab persoalan sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 bertentangan dengan lima peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 10:00 AM