ISTANA Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. FOTO arkib NSTP
ISTANA Kehakiman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

TIGA transgender gagal mendapat kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan 2015 yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan terhadap lelaki berpakaian wanita adalah tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan yang dikemukakan oleh Muhamad Juzaili Mohd Khamis, Shukor Jani dan Wan Fairol Wan Ismail.

"Pada pandangan kami, permohonan ini tidak memenuhi kriteria menurut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995," katanya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Pada prosiding hari ini, peguam Aston Paiva yang mewakili pak andam berkenaan, memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk semakan kehakiman dan mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2015 atau sebagai alternatif untuk mendengar rayuan tersebut.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif pada 2015 mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang telah menghukum lelaki berpakaian wanita, sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau memutuskan rayuan yang dikemukakan oleh kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah adalah tidak kompeten kerana ketiga-tiga pemohon (Muhamad Juzaili, Shukor dan Wan Fairol) telah menggunakan prosedur yang salah untuk memulakan cabaran perundangan mereka terhadap kesahan undang-undang syariah negeri.

Beliau berkata ketiga-tiga transgender itu sepatutnya memfailkan terus cabaran undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan dan bukannya melalui semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Seremban.

Pada prosiding hari ini, Paiva juga berhujah bahawa wujud ketidakadilan apabila Mahkamah Persekutuan gagal atau enggan mendengar merit rayuan itu, sedangkan mahkamah membenarkan isu awal dibangkitkan kerajaan negeri dan empat yang lain dan memutuskan rayuan itu tidak kompeten.

Penasihat undang-undang Negeri Sembilan Muzalmah Mustapha Kamal, yang mewakili responden berkata, permohonan itu harus ditolak kerana pemohon tidak menunjukkan bahawa mereka benar-benar terkesan dengan keputusan itu.

Beliau berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa sedia ada untuk menyemak keputusannya sendiri, namun kuasa semakan itu mesti dilaksanakan secara berhati-hati.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, menerima pakai hujahan Muzalmah.

Pada 11 Oktober 2012, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan semakan kehakiman oleh Muhamad Juzaili, Shukor dan Wan Fairol.

Pada November 2014, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan bersejarah apabila menyebelahi ketiga-tiga transgender itu yang mencabar Seksyen 66.

Mahkamah memutuskan peruntukan itu sebagai tidak berperlembagaan kerana ia telah mendiskriminasi golongan lelaki Islam yang menghidap sindrom kecelaruan identiti gender.

Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa syariah dan ketua pendakwa raya syariah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:15 PM