ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua kereta mewah, semalam.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua kereta mewah, semalam.

Ipoh: Dua kenderaan mewah ditemui musnah terbakar di Jalan Lahat-Simpang Pulai, di sini, dalam kejadian awal pagi semalam dan punca sebenar kejadian itu tidak diketahui berikutan pemiliknya tiada di lokasi kejadian sebaik pihak berkuasa tiba.

Dalam kejadian jam 4.55 pagi, dua kereta BMW 318i dan Alfa Romeo dijumpai di bahu jalan berkenaan yang pada awalnya disangkakan terbabit dalam kemalangan sebelum dipercayai terbakar.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan di laluan berkenaan dan siasatan awal di tempat kejadian mendapati menerusi kedudukan di tempat kejadian, kereta BMW dipercayai datang dari arah Simpang Pulai, manakala Alfa Romeo dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diperoleh mengenai kemalangan kerana kedua-dua kenderaan berkenaan ditinggalkan dalam keadaan terbakar tanpa pemiliknya.

“Siasatan lanjut juga tidak menemui kesan brek dan tiada kesan tayar menuju ke bahu jalan yang bertanah tempat kenderaan berkenaan ditinggalkan serta turut tidak ditemui serpihan komponen kenderaan di tempat kejadian yang menunjukkan berlaku kemalangan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis juga belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak atau pemilik kedua-dua kenderaan yang terbakar itu.

“Semakan mendapati kenderaan jenis BMW itu atas nama seorang lelaki Cina berusia 62 tahun dan beralamat di Taman Merdeka, di sini manakala tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai pemilik Alfa Romeo berkenaan.

“Kedua-dua kereta berkenaan terbakar keseluruhannya serta ketika kejadian tiada saksi yang berada di tempat kejadian dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua kenderaan atau kejadian itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 8:02 AM