Amrullah Abdul Karim


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menumpaskan kegiatan penjualan barangan berjenama tiruan dengan rampasan bernilai lebih RM2 juta di sekitar Rawang yang dianggap terbesar di Selangor tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Daerah Hulu Selangor Ahmad Zamri Che Long berkata, rampasan itu antaranya membabitkan beg tangan, dompet dan tali pinggang berjenama Gucci, Louis Vuitton (LV), YSL, Chanel, Levis dan Nike.

"Kejayaan ini hasil risikan selama lebih sebulan membabitkan tiga stor simpanan barangan tiruan di sekitar Rawang Jaya dan Rawang Mutiara.

"Rampasan pertama di sebuah premis di Rawang Jaya dengan nilai rampasan RM900,000 diikuti dua premis di Rawang Mutiara masing-masing bernilai RM750,000 dan RM350,000," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, dalam operasi 11 pagi itu, hasil siasatan ke atas pekerja di premis berkenaan mendapati barangan itu dijual kepada peniaga di sekitar Kuala Lumpur.

"Mereka dikatakan menjadikan kawasan ini sebagai stor simpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kita turut tidak menolak kemungkinan kegiatan haram itu didalangi sindiket tertentu namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Ahmad Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:03 PM
Penguat kuasa KPDNKK memeriksa beg berjenama tiruan yang dirampas dalam serbuan di stor simpanan di Rawang. FOTO Amrullah Abdul Karim
Penguat kuasa KPDNKK memeriksa beg berjenama tiruan yang dirampas dalam serbuan di stor simpanan di Rawang. FOTO Amrullah Abdul Karim