Oleh Azma Razana Johari

Seberang Jaya: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung dan disyaki didera bapanya sebelum diselamatkan polis di sebuah pangsapuri di Sungai Dua, Butterworth, Khamis lalu, dipercayai diperlakukan sedemikian sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam tempoh berkenaan, kanak-kanak itu tidak diberi makan dalam jangka waktu lama sehingga dia kekurangan zat.

“Kanak-kanak itu didapati membuang air besar dan kecil dalam rumah kosong berkenaan yang tiada bekalan air serta elektrik.

“Kanak-kanak perempuan itu ditempatkan di Wad Kanak-kanak HSJ untuk pemantauan dan kini semakin sihat.

“Pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) memberitahu keadaan kanak-kanak berkenaan semakin pulih dan berat badannya bertambah dari lapan ke 10 kilogram,” katanya yang ditemui selepas melawat kanak-kanak itu di HSJ, petang semalam.

Abdul Rahman berkata, polis sudah mengambil keterangan ibu tiri mangsa, Sabtu lalu, untuk membantu siasatan, namun wanita berkenaan tidak ditahan.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Butterworth melanjutkan tempoh tahanan reman bapa mangsa selama tiga hari lagi sehingga Khamis ini.

“Polis bekerjasama dengan HSJ dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memantau perkembangan kesihatan kanak-kanak perempuan itu,”” katanya.

Khamis lalu, polis menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun selepas dipercayai dikurung bapanya dalam sebuah rumah di Pangsapuri Taman Sungai Dua Utama di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:06 AM