Seberang Jaya: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjaga lima adik-beradik tiri kanak-kanak perempuan yang dikurung dan dipercayai didera bapanya dalam sebuah flat di Butterworth, Khamis lalu, sekiranya ibu tirinya ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, JKM bersedia menjaga kebajikan lima beradik tiri mangsa sepanjang wanita berkenaan ditahan polis.

“JKM bertanggungjawab menjaga dan melindungi kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dan kita bersiap-sedia membantu memastikan kebajikan kanak-kanak berkenaan terjaga.

“Walau apa yang berlaku, anak terbabit tidak bersalah dan dilindungi JKM.

““Kita serahkan kepada polis menyiasat kes berkenaan. Bagi JKM pula, sekiranya gagal mencari waris untuk menjaga mangsa, dia diletakkan di bawah jagaan JKM,” katanya selepas melawat mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, semalam.

Mangsa anak tunggal hasil perkahwinan pertama suspek dengan wanita warga Indonesia dan wanita berkenaan dipercayai sudah pulang ke negara asalnya.

Suspek turut memiliki lima anak hasil perkahwinan kedua bersama wanita tempatan.

Sementara itu, Pengarah HSJ Azlina Muhd Radzi berkata, kesihatan kanak-kanak itu dipantau sehingga berat badannya mencapai tahap normal berbanding lapan kilogram ketika mula menerima rawatan di situ.

“Berat badan mangsa sekarang ialah 10 kilogram, meningkat dua kilogram berbanding beratnya ketika ditemui Khamis lalu,.

“Justeru, kami pastikan beratnya naik sehingga tahap normal iaitu antara 15 hingga 20 kilogram dan kini masih diberikan makanan cecair.

“Mangsa diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas, apabila dia pulih sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:06 AM