Butterworth: Polis akan memanggil ibu tiri kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung dan disyaki didera bapanya untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, wanita berusia 30-an itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, perkara itu perlu kerana ia antara prosedur untuk membantu pihaknya melengkapkan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Siasatan sedang berjalan, kami juga belum dapat memastikan sama ada wanita berkenaan turut terbabit dalam kejadian itu dan kerjasamanya memberikan keterangan amat perlu.

“Polis juga memanggil beberapa individu lain termasuk jiran yang tinggal berhampiran dengan kediaman mangsa bagi mendapatkan maklumat,” katanya.

Abdul Rahman berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan masih trauma.

Siasatan awal dilakukan pi haknya tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu dikurung lebih seminggu dan tidak diberikan makanan yang cukup.

“Usaha mendapatkan keterangan daripada kanak-kanak itu juga tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana dia masih trauma dan kami akan menunggu dia pulih sebelum meneruskan siasatan,” katanya.

Khamis lalu, polis menyelamatkan kanak-kanak malang itu yang dikurung dalam bilik di Flat Taman Sungai Dua Utama dan ketika ditemui, mangsa dalam kelaparan.

Kejayaan itu hasil laporan polis dibuat seorang guru yang mengesyaki sesuatu berikutan kanak-kanak itu kelihatan lemah serta hanya mengikuti sesi persekolahan separuh hari pada hari pertama tahun satu.

Rabu lalu, bapanya yang berusia 34 tahun, datang ke sekolah mengambil wang bantuan awal persekolahan RM100 tanpa membawa anaknya sebelum beredar.

Siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini tinggal bersama bapa, ibu dan lima adik beradik tirinya selepas ibunya, isteri pertama lelaki itu pulang ke Indonesia selepas berpisah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:24 AM