Butterworth: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi perlindungan terhadap lima beradik tiri kanak-kanak perempuan dipercayai dikurung dan didera di Sungai Dua, di sini, jika ibu tirinya turut didakwa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata JKM akan bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka yang berumur bawah 18 tahun.

“Untuk jaga kanak-kanak bawah 18 tahun adalah tanggungjawab JKM. Sekiranya ibu bapa kanak-kanak itu didakwa, JKM akan ambil tindakan dan memberi perlindungan kepada mereka.

“Ini kerana jika ada apa-apa kesalahan pun anak-anak bukannya pihak yang buat salah, kebajikan mereka mesti diambil kira,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.

Hadir sama pengarah HSJ, Dr Azlina Muhamad Radzi dan pengarah JKM Pulau Pinang, Dr Zaitol Salleh.

Polis mendapat perintah lanjutan reman selama tiga hari terhadap bapa kanak-kanak itu bermula hari ini dan polis juga mengambil keterangan ibu tiri kanak-kanak itu Sabtu lepas.

Kanak-kanak berkenaan yang juga murid tahun satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

Berikutan itu, polis menahan bapa mangsa, berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

Chew berkata, kanak-kanak itu masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan pihaknya turut menggiatkan usaha mencari waris mangsa.

“Sekiranya waris kanak-kanak ini tidak dijumpai, perintah meletakkan sementara dia di rumah kanak-kanak Taman Bakti Kepala Batas akan diambil sehinggalah kanak-kanak ini diserahkan kepada anggota keluarganya atau orang yang layak dan sesuai (menjaganya),” tambahnya.

Sementara itu, Dr Azlina berkata pihaknya memberi makanan secara berperingkat kepada kanak-kanak itu dan akan mengambil sekurang-kurangnya sebulan bagi mengembalikan berat ideal.

“Dia dah lama tak diberi makan. Oleh itu, kita beri dia makanan perlahan-lahan sehingga dia boleh capai berat badan memuaskan. Sehingga ini, dia belum boleh lagi ambil makanan pepejal. Sekarang berat dia sudah naik dua kilograam kepada 10 kg dan kita cuba untuk capai antara 15 ke 20kg,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:13 PM