Oleh Azma Razana Johari


Seberang Jaya: Kanak-kanak perempuan yang dikurung dan didera bapanya di Sungai Dua, Khamis lalu, dipercayai diperlakukan sedemikian sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam tempoh berkenaan kanak-kanak itu turut tidak diberi makan dalam jangka waktu yang lama sehingga dia kekurangan zat.

"Kanak-kanak itu didapati membuang air besar dan kecil di dalam rumah kosong berkenaan yang turut tiada bekalan air serta elektrik," katanya yang ditemui selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Menurutnya, kanak-kanak perempuan itu masih ditempatkan di Wad Kanak-kanak HSJ untuk pemantauan dan dilihat semakin sihat.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Butterworth petang tadi membenarkan tempoh tahanan reman terhadap suspek dilanjutkan selama tiga hari sehingga Khamis ini.

Laporan Harian Metro pada 17 Januari memetik Abdul Rahman sebagai berkata, kejayaan menyelamatkan kanak-kanak malang itu hasil keprihatinan pihak sekolah selepas mangsa tidak hadir ke kelas walaupun sudah mendaftar untuk memasuki tahun satu.

Beliau berkata, seorang guru sekolah berkenaan mengesyaki ada yang tidak kena dengan kanak-kanak itu yang kelihatan lemah serta hanya mengikuti sesi persekolahan separuh hari dan pulang lebih awal walaupun kelas belum tamat.

Khamis lalu, kanak-kanak tahun satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di rumah di Sungai Dua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:51 PM