PENYEDIA laman web, AirBnB sedia penginapan.
PENYEDIA laman web, AirBnB sedia penginapan.
CELCOM tawar panggilan percuma.
CELCOM tawar panggilan percuma.
SKMM kutip derma melalui SMS.
SKMM kutip derma melalui SMS.
DIGI turut kumpul bantuan.
DIGI turut kumpul bantuan.
Oleh Afiq Hanif

Bencana banjir yang sedang melanda negeri di pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang kini menjadi tumpuan.

Pelbagai bantuan dihulurkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan terbabit.

Agensi kerajaan serta syarikat swasta berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut sama menggerakkan inisiatif memberi bantuan kepada penduduk di kawasan yang teruk dilanda banjir dengan pelbagai cara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) misalnya melancarkan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) untuk membantu mangsa banjir.

Semua pengguna talian telekomunikasi di seluruh negara boleh menderma kepada tabung ini dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Apa yang perlu dilakukan hanya taipkan perkataan 'banjir' serta jumlah yang anda ingin dermakan, contohnya banjir5 (banjir jarak 5) untuk derma sebanyak RM5 dan hantarkan ke 13999.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Berhad (Celcom) melalui laman Twitternya, @xpaxsays memberitahu, semua pelanggan mereka yang berdaftar di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menerima 200 minit panggilan dan 200 SMS percuma.

Ini membolehkan panggilan dan SMS dilakukan ke talian Celcom lain secara percuma berkuat kuasa serta-merta sehingga hari ini.

Airbnb, penyedia laman web yang memberi akses kepada penyewa dan tuan rumah menyewakan rumah atau bilik mereka turut melancarkan laman khas bagi membantu mangsa banjir.

Dalam laman khas itu, tuan rumah yang ingin membantu mangsa banjir boleh menyenaraikan rumah atau bilik mereka untuk diduduki secara percuma.

Bagi yang memerlukan tempat tinggal pula, boleh merujuk kepada laman khas ini untuk mendapatkannya.

Sementara itu, DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi), membuat kutipan amal bagi mengumpulkan barang keperluan asas untuk dihantar ke lokasi yang dilanda banjir.

Inisiatif 'DiGi Flood Relief Drive' menyasarkan barangan seperti air mineral, beras, mi segera, minuman segera, makanan dalam tin dan selimut untuk dikumpul dan kemudian dihantar terus ke pusat perlindungan mangsa banjir.

Bagi yang berminat membantu, DiGi membuka dua pusat pengumpulan iaitu di DiGi Stores di SS2, Petaling Jaya dan DiGi Stores di Bukit Tinggi, Klang.

Pusat pengumpulan ini dibuka dari 29 hingga hari ini serta 2 Januari dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai dijemput untuk terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan berkongsi sebarang maklumat berguna.

Paling utama, hentikan penyebaran maklumat tidak berasas atas dasar 'sharing is caring' di media sosial dan menumpukan kepada usaha membantu mangsa yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:01 AM