Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 45 panggilan daripada mangsa banjir mengenai isu berkenaan banjir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, panggilan itu diterima selepas penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir baru-baru ini.

Katanya, pihaknya menerima 36 panggilan yang membuat pertanyaan umum berkaitan bantuan banjir manakala baki sembilan panggilan berkenaan aduan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap bantuan banjir.

"Maklumat yang kita perolehi ini kita salurkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Masalah ini berlaku mungkin berpunca daripada ketidakupayaan penyaluran maklumat kepada orang awam," katanya selepas melawat Kompleks SRPM Kelantan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 1:28 PM