PENDUDUK Hong Kong kini beralih kepada buah-buahan import yang dianggap lebih segar, selamat dan berprestij.
PENDUDUK Hong Kong kini beralih kepada buah-buahan import yang dianggap lebih segar, selamat dan berprestij.
BUAH-BUAHAN mahal sering dijadikan hadiah untuk jaga air muka.
BUAH-BUAHAN mahal sering dijadikan hadiah untuk jaga air muka.
STRAWBERI Jepun dijual pada harga RM95.80 sebiji.
STRAWBERI Jepun dijual pada harga RM95.80 sebiji.
TEMBIKAI wangi dari Jepun turut tersenarai sebagai buah-buahan mewah di Hong Kong.
TEMBIKAI wangi dari Jepun turut tersenarai sebagai buah-buahan mewah di Hong Kong.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Siapa kata buah-buahan hanya untuk kesihatan? Martabat buah-buahan khususnya yang diimport kian dijulang apabila ia tidak lagi dilihat sebagai satu keperluan, tetapi menjadi lambang kemegahan.

Memang buah-buahan sudah lama dicanangkan sebagai pilihan makanan yang baik dan menyihatkan, tetapi kemunculan budaya mengutamakan produk import sedikit sebanyak boleh ‘mencederakan’ dompet pengguna. Inilah yang berlaku di Hong Kong.

Buah-buahan premium yang mendapat sambutan hangat ini tidak sekadar memenuhi ruang di pasar raya mewah, sebaliknya ia turut membanjiri gerai tepi jalan.

Di Yau Ma Tei, pasar buah terkemuka di Hong Kong, harga sebiji durian dari Malaysia boleh mencecah HK$600 (RM342) dan ceri dari Tasmania pula dijual pada harga HK$550 (RM313.60).

Di sebuah pasar raya mewah di City Super, harga strawberi dari Jepun baru-baru ini melonjak kepada HK$168 (RM95.80) sebiji! Setiap biji strawberi diletakkan di atas bantal kertas dan dibungkus cantik dalam kotak kadbod berkilat.

Selera masyarakat Hong Kong terhadap buah-buahan mahal ini dicetuskan oleh kecenderungan mereka untuk mendapatkan produk yang dilihat lebih bersih dan segar walaupun ia sudah melalui perjalanan beribu-ribu kilometer.

Penduduk memberitahu, mereka tidak lagi melihat produk dari tanah besar China yang menjadi sumber utama kebanyakan makanan di Hong Kong sebagai menyihatkan.

“Dulu saya selalu beli buah-buahan dari China, tetapi kini tidak lagi. Saya tidak mahu lagi membeli buah-buahan dari sana. Ia tidak selamat dan kurang segar,” kata Peter Wong, 48, akauntan yang membelanjakan kira-kira HK$2,000 (RM1,140) bagi membeli buah-buahan untuk dia, isteri dan dua anaknya.

“Buah-buahan dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Afrika Selatan atau Jepun jauh lebih segar,” katanya sambil meninjau gerai buah di Yau Ma Tei.

Laporan mengenai petani China menggunakan racun serangga, baja dan bahan pengawet secara keterlaluan merosakkan reputasi hasil tani di negara itu dan mengikis kepercayaan penduduk Hong Kong walaupun menyedari sumber makanan yang ditanam di pulau metropolitan itu sangat terhad.

Pun begitu, penduduk Hong Kong rela menyediakan peruntukan yang agak besar bagi mendapatkan hasil tani yang diyakini lebih baik, selamat dan segar. Kecenderungan untuk mendapatkan diet lebih sihat juga merangsang fenomena berkenaan apatah lagi ramai menganggap sajian tradisional di negara itu sarat dengan garam dan lemak.

Jaga air muka

Namun ia bukan sekadar pilihan sihat. Buah-buahan import menjadi hadiah yang popular untuk menarik perhatian insan tersayang atau rakan sekerja. Bahkan kecenderungan baru ini juga sebenarnya mengukuhkan lagi tradisi Cina yang melihat pemberian buah-buahan boleh membawa tuah dan kekayaan kepada seseorang.

Daniel Chan, 42, yang meneruskan perniagaan keluarga membekalkan buah-buahan di Yau Ma Tei selama 70 tahun berkata, mengisi bakul hadiah dengan buah-buahan mahal juga sebenarnya bertujuan menjaga air muka. Dalam budaya Cina, ia turut menjadi petanda atau melambangkan kekayaan dan kemurahan hati seseorang.

Pada asalnya, keluarganya hanya menjual buah kepada pemborong, tetapi sejak dua tahun lalu mereka sudah meluaskan perniagaan dengan membuka cawangan jualan runcit bagi memenuhi kehendak pasaran terhadap buah-buahan premium khususnya pelanggan kaya.

“Golongan profesional dan kelas atasan akan datang ke sini pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi pada hujung minggu, anda boleh lihat deretan kereta mewah seperti Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz di sini,” kata Chan.

Tambahnya, pelanggan suka kalau mereka dilihat seperti pembeli buah ‘profesional’ dan boleh mencium buah yang paling segar.

Trend ini tidak terhad kepada warga Hong Kong sahaja. Penduduk Jepun dan ahli perniagaan juga sering menjadikan buah-buahan mahal sebagai cara untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada seseorang.

Gedung beli-belah mewah juga dengan bangga mempamerkan buah-buahan import di ruang khas mereka. Antara yang mendapat tempat di ruang khas ini adalah ceri, mangga dan tembikai wangi. Setiap satu diletakkan di atas alas kusyen di dalam kotak kayu.

Pada setiap musim, harga lelong buah-buahan ini melonjak tinggi, contohnya harga anggur hitam ‘Ruby Roman’ boleh mencecah RM17,718 segugus dan dua biji tembikai wangi dijual pada harga lebih RM39,865!

Di Korea Selatan, buah-buahan sudah lama menjadi hadiah popular pada sambutan tahun baru dan Chuseok, iaitu festival menuai yang turut dianggap sebagai hari kesyukuran.

Buah-buahan import yang dibungkus dengan teliti ini turut menjadi hadiah popular bagi sesetengah pihak, tetapi dengan pelaksanaan undang-undang antirasuah yang bermula tahun lalu dan mengehadkan nilai hadiah perniagaan tidak melebihi RM221, jualan buah-buahan mewah itu agak merosot.

Ada kelas

Di Hong Kong, harga buah-buahan ditentukan oleh permintaan. Bagaimanapun, kenaikan harga ini turut dipengaruhi oleh teknik baru yang menambah kemanisan rasanya.

Antara hasil tani yang paling popular di Yau Ma Tei adalah produk dari Jepun, tetapi buah-buahan yang datang dari jauh seperti buah tin dari Afrika Selatan turut mendapat tempat di hati pelanggan.

Durian Malaysia yang dijual pada harga RM342 sebiji di gerai Chan itu ditanam di ladang yang berjaga rapi, ranum di atas pokok, dibekukan dan diterbangkan terus ke Hong Kong. Ia menjadikannya lebih mahal berbanding buah-buahan yang dibawa masuk dengan kapal dan ranum dalam perjalanan.

Ketika Hong Kong cuba membanteras isu pembaziran makanan, pengkritik berkata, buah-buahan mewah ini turut memberi kesan kepada alam sekitar dengan pembungkusan yang berlebih-lebihan. Tetapi, bagi sesetengah pihak, kaedah pembungkusan itulah yang menjadi daya penarik untuk mendapatkan pelanggan.

Menurut Christopher Gallaga, bekas pengurus makanan dan minuman di City Super, buah-buahan yang dibungkus secara ‘elegan’ itu sering dilihat sebagai ‘standard dan ada kelas’, bahkan ia lebih laris berbanding buah yang tidak dibungkus.

“Semuanya berkait rapat dengan standard. Semuanya mahu yang diimport,” katanya. Budaya ini juga menandakan hilangnya kepercayaan penduduk terhadap hasil tani tempatan khususnya dari tanah besar China.

Namun, bagi seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, dia membeli buah eksotik - dan tentunya berkualiti tinggi.

“Kini saya boleh beli buah-buahan terbaik untuk dinikmati bersama keluarga dan kawan-kawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:51 PM