NURUL Aina (kiri) menerima sumbangan banjir di rumahnya, semalam.
NURUL Aina (kiri) menerima sumbangan banjir di rumahnya, semalam.

Putrajaya: Bencana banjir melanda Kelantan Disember lalu meninggalkan pengalaman perit buat seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Kelantan apabila tidak sempat melihat wajah ibunya buat kali terakhir.

Nurul Aina Mohd Amin, 14, berkata, ibunya Hasmah Ibrahim, 53 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian 30 Disember lalu jam 5.45 pagi, sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Dabong untuk dikebumikan

Namun, katanya dia yang ketika itu berada di Hospital Kuala Krai tidak dapat pulang ke rumah kerana laluan sukar dilalui akibat banjir, sekali gus memaksa ayah dan kakaknya meneruskan pengebumian arwah ibu tanpa adik beradik lain.

Katanya, dia berada di Hospital Kuala Krai kerana menemani ibunya yang dirawat di situ kerana mengalami masalah paha bernanah akibat kencing manis dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.

Bagaimanapun, selepas dua hari banjir berlaku di negeri itu, ibunya dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian kerana Hospital Kuala Krai mengalami masalah ketiadaan elektrik dan air menyebabkan pembedahan tidak dapat dijalankan di situ.

“Disebabkan banjir makin teruk, mek (ibu) dibawa ke HUSM dengan menaiki helikopter dan saya sebagai penjaga yang menemaninya sepanjang berada di Hospital Kuala Krai tidak dibenarkan mengikutinya menaiki helikopter kerana keadaan waktu itu amat terdesak.

“Saya hanya sempat menghantarnya sehingga ke pintu helikopter dan mek sempat meminta supaya saya memeluknya. Itulah kenangan terakhir saya bersama mek dan ia akan sentiasa kekal diingati,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 8:11 AM