Ustaz Kazim selamat tiba di LTSAS Ipoh dan diiringi Azhar (kiri) dan Ahmad Shalimin (kanan, berbaju putih). FOTO Balqis Jazimah Zahari
Ustaz Kazim selamat tiba di LTSAS Ipoh dan diiringi Azhar (kiri) dan Ahmad Shalimin (kanan, berbaju putih). FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh : Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias (UKE) yang diterbangkan menggunakan helikopter dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Beliau tiba pada 3.20 petang selepas bertolak dari HUSM Kubang Kerian kira-kira 2 petang.

Sebaik tiba, UKE disambut oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie sebelum terus dibawa menaiki ambulans ke Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) dekat sini untuk menerima rawatan susulan.

Azhar berkata, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan berjanji untuk memberi rawatan terbaik kepada penceramah yang disayangi ramai itu.

"Menteri Besar Perak berjanji untuk memberi rawatan terbaik kepada Ustaz Kazim Elias.

"Beliau adalah penceramah yang disayangi seluruh negara, kita akan memastikan rawatan terbaik diberi kepadanya agar beliau sembuh dan dapat terus berkhidmat memberi ceramah kepada orang ramai lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 5:52 PM