KEADAAN kereta mangsa yang remuk dengan   bumbung tercabut dan hampir putus.
KEADAAN kereta mangsa yang remuk dengan bumbung tercabut dan hampir putus.

Ipoh: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan kereta yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang elektrik konkrit hingga menyebabkan mangsa tersepit selepas kenderaan mereka remuk di bahagian bumbung dan hampir terputus dua.

Dalam kejadian jam 1 petang di Jalan Gopeng-Batu Gajah berhampiran Taman Herba di sini, pemandu kereta Proton Iswara itu mati di tempat kejadian akibat tersepit manakala rakannya parah selepas tercampak dari kereta.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai M Parthiban, 20, dari Taman Kasawari Simpang Ampat, Pulau Pinang manakala M Gogilan, 20, dari Taman Rima di sini, parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dari arah Batu Gajah menuju Gopeng dan sebaik tiba di tempat kejadian, Parthiban yang memandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh dua tiang elektrik konkrit di tepi kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu, Parthiban tersepit di tempat pemandu manakala Gogilan tercampak keluar daripada kereta.

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:50 AM