Kuala Lumpur: Perkhidmatan bas ekspres ke pantai timur yang tergendala kerana banjir sudah disambung kembali meskipun hanya terhad kepada beberapa destinasi tertentu saja.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali memberitahu sehingga kini, syarikat bas ekspres sudah menyambung semula perkhidmatan mereka ke pantai timur namun hanya terhad kepada perjalanan Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

“Perjalanan ke beberapa destinasi tertentu seperti Kota Bharu masih tergendala kerana beberapa jalan utamanya digenangi air dan walaupun paras air kini semakin menurun, kita tidak boleh mengambil risiko untuk meredah laluan berair itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambahnya lagi, bencana yang melanda menyebabkan kerugian kepada pengusaha bas ekspres yang menguruskan perjalanan ke pantai timur.

“Ketika banjir, banyak perjalanan oleh syarikat bas ini terpaksa dibatalkan menyebabkan ramai rugi dan pada minggu lalu saja, semua perkhidmatan ke beberapa destinasi di Kelantan terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya.

Ashfar turut menjelaskan bahawa banyak bas ekspres di negeri terjejas oleh banjir rosak kerana ditenggelami air dan memerlukan kos baik pulih yang tinggi.

“Perjalanan ke Kuala Terengganu yang dibuka juga terpaksa menggunakan jalan alternatif agak jauh berbanding laluan biasa, namun penumpang faham dengan situasi ini,” katanya.

Sementara itu, perkhidmatan kereta api bagi laluan ke pantai timur masih lagi tergendala kerana beberapa stesen dan landasan kereta apinya masih dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:23 AM