GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Bas SeMalaysia (PMBOA) meminta kerajaan campur tangan dalam memastikan industri pengangkutan kekal relevan terutama ketika berlaku kerugian drastik akibat penularan wabak Covid-19.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya mencatatkan kerugian di dalam operasi dan ia bertambah buruk sejak beberapa minggu lalu dengan penurunan jumlah penumpang sebanyak 40 peratus.

Katanya, sebahagian besar ahli PMBOA kini bergelut untuk meneruskan hidup dengan ada yang terpaksa menjual aset, membuat pinjaman dan mengecilkan operasi mereka sekali gus mempengaruhi aliran tunai.

“Saya gesa supaya kerajaan mencari jalan dan mengambil perhatian kepada apa yang berlaku kepada industri.

“PMBOA mencadangkan agar kadar gaji minimum yang ditetapkan ditangguhkan sementara wabak Covid-19 ini selesai dan kehidupan normal seperti biasa.

“Selain itu, kerajaan juga wajar mengurangkan kutipan levi Pembangunan Sumber Manusia sebanyak satu peratus.

“Dengan cara itu, beban pengusaha akan kurang dan kita boleh menumpukan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga berharap institusi kewangan dapat menangguhkan pembayaran bulanan dengan hanya mengutip faedah untuk mengurangkan beban ahli yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Kita bukan minta penangguhan untuk tempoh lama, cukuplah kalau pengecualian ini sehingga isu penularan wabak selesai.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu dan campur tangan supaya ia diberi perhatian agensi terbabit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:36 PM