Kuala Lumpur: Keseluruhan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Plaza Tol Karak ke Plaza Tol Jabor dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai tengah malam semalam.

Penyelia Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Asyraf Rohan ketika dihubungi berkata, hanya lorong laju saja dibuka di kedua-dua arah iaitu di Kilometer 126.1 hingga Kilometer 126.9 berdekatan Temerloh.

“Pemandu dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda yang disediakan,” katanya.

Asyraf berkata, setakat ini trafik di laluan LPT berjalan lancar dan tiada sebarang kemalangan dilaporkan.

Maklumat terkini mengenai laluan LPT boleh diikuti di Twitter @lpttrafik atau talian alternatif ketika waktu bekerja iaitu 03-61951266 dan 03-61951121, 03-61951250 dan 03-61951474.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) Tajuddin Mohd Yunus berkata, perkhidmatan bas ekspres ke pantai timur yang dihentikan sejak 26 Disember lalu akibat banjir kini disambung semula.

Katanya, kebanyakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan dari ibu negara ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu sudah membuka semula perkhidmatan mereka.

“Namun laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan Pekan perlu melalui jalan alternatif seperti laluan Bahau, Muadzam Shah dan Rompin kerana laluan biasa dinaiki air,” katanya ketika dihubungi.

Di samping itu, beliau berkata, perjalanan ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu mungkin mengambil tempoh lebih lama kerana keadaan jalan masih kurang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:10 AM