Kota Bharu: “Ini masa yang sesuai. Sudah lebih 17 bulan kami tunggu,” kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Beliau berkata demikian mewakili ahlinya yang mahu kerajaan menstruktur semula tambang bas ekspres segera berikutan tidak mampu bertahan dengan kos operasi yang semakin meningkat.

Menurutnya, sejak memorandum dikemukakan tahun lalu, pengusaha bas ekspres hanya diminta bersabar dan menunggu hingga kajian dan keputusan dibuat mengenai kadar tambang baru lebih sesuai.

“Namun, sehingga kini, tiada apa lagi perbincangan lanjut dibuat sejak memorandum dihantar pada Mei 2013. Antara isi kandungan memorandum itu ialah kenaikan tambang antara 30 dan 40 peratus.

“Kami sedar dan faham kerajaan tidak boleh membuat keputusan terburu-buru, tetapi pada masa sama, pengusaha semakin tertekan dengan kos minyak tinggi, alat ganti dan tuntutan agensi berkuasa berkaitan yang berkehendakkan bas dilengkapi kemudahan keselamatan terkini termasuk alat pengesan dan sistem pengesan kedudukan global (GPS).

“Bagi memenuhi keperluan itu, ahli persatuan tertekan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Ada syarikat tidak lagi mampu melabur untuk menawarkan bas yang lebih baik dan moden,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berikutan itu, Mohamad Ashfar mencadangkan kerajaan tidak lagi mengawal tambang bas ekspres, sebaliknya menjadikan ia bersifat terbuka dan mengikut harga pasaran.

Menurutnya, pihaknya percaya dengan cara itu pengusaha akan lebih ‘bernyawa’ dan mampu menampung operasi perniagaan mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:11 AM