Putrajaya: Sebanyak empat hospital di Kelantan dan dua di Pahang yang terjejas banjir masih berfungsi, manakala sebanyak 102 fasiliti kesihatan terjejas dengan 38 masih beroperasi sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan meneruskan usaha bagi memastikan hospital dan klinik yang terjejas akibat banjir di negara ini akan terus berfungsi.

“Keperluan tambahan bekalan elektrik di hospital terbabit juga sudah dilaksanakan dengan bantuan tambahan generator berkapasiti 5KvA, termasuk Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah dan Hospital Pasir Mas.

“Sehingga Ahad lalu, dapur dapat beroperasi sepenuhnya dengan tambahan generator berkenaan. Malah, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga memaklumkan akan membekalkan generator dengan kapasiti 1000KvA kepada Hospital Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagi memastikan bekalan air selamat untuk hospital terbabit, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan membeli 10 unit penapis air berkapasiti 30 liter untuk setiap enam jam.

Menurutnya, hospital yang akan dibekalkan ialah Hospital Kuala Krai, Hospital Tanah Merah, Hospital Jeli, Hospital Tumpat dan Hospital Pasir Mas.

“Kementerian juga dalam proses mendapatkan lori tangki pembekal air bersih dengan kerjasama pihak Syarikat Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Selain itu, pembekalan 50 balang oksigen juga dibuat untuk Hospital Tanah Merah, 30 balang Hospital Jeli dan 10 balang Hospital Kuala Krai bagi memastikan pesakit mendapat bekalan oksigen mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghantaran bahan makanan dibuat melalui jalan darat dan udara ke Hospital Kuala Krai membabitkan sebanyak 265 kilogram (kg) makanan terdiri daripada beras dan makanan bayi.

Katanya, perkhidmatan itu akan diteruskan mengikut keperluan semasa juga ke hospital lain yang memerlukan.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah anggota digerakkan untuk misi bantuan kemanusiaan kepada fasiliti kesihatan yang terjejas banjir besar adalah 45 anggota untuk negeri Kelantan dan 28 ke Pahang.

“Anggota ini terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, jururawat terlatih, pembantu perawatan kesihatan dan pemandu.

“Pada masa sama, pesakit kritikal dipindahkan dari kawasan terjejas banjir di Hospital Gua Musang ke Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantu kakitangan di lapangan dalam menjalankan aktiviti kesihatan melalui penghantaran anggota gantian dan bantuan dari negeri yang tidak terbabit banjir sebaik diperlukan.

“Kami juga menasihatkan orang ramai terutama mangsa banjir termasuk golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua serta mereka mengidap penyakit kronik (seperti diabetes, darah tinggi dan lain-lain) yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan susulan hendaklah menjaga kebersihan dan kesihatan.

“Jika sakit, hendaklah segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran. Perhatian perlu diambil untuk mengelakkan kecederaan terutama semasa membuat kerja pembersihan selepas banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:34 AM