JALAN menghubungkan Kampung Banggol Kulim menghala ke bandar Rantau Panjang ditutup. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JALAN menghubungkan Kampung Banggol Kulim menghala ke bandar Rantau Panjang ditutup. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,217 penduduk membabitkan 402 keluarga sehingga 5 petang ini.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 921 orang diikuti Kuala Krai 153 mangsa dan Tanah Merah 143 mangsa.

Pasir Mas membabitkan 12 PPS yang menempatkan 320 keluarga yang dipindahkan sehingga petang ini.

Kuala Krai mencatatkan lima PPS yang menempatkan 43 keluarga dan Tanah Merah merekodkan lima PPS dengan menempatkan 39 keluarga.

Gua Musang pula membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 yang sebelum ini menempatkan 13 mangsa sudah ditutup petang ini selepas banjir di daerah berkenaan pulih.

Sementara itu, portal ebanjir Kelantan mendapati, empat sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 10.45 meter (m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu 2.75m.

Sungai Kelantan di Tangga Krai mencatatkan bacaan 25.03m dan Sungai Lebir di Tualang 35.62m.

Pada masa sama, sebanyak 15 laluan ditutup membabitkan daerah Kuala Krai, Pasir Mas dan Machang berikutan dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 5:49 PM