Kuala Lumpur: Sejumlah 11,204 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) terjual sejak 2009 hingga Oktober lalu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan memberitahu persidangan Dewan Negara semalam bahawa 11,204 unit kediaman itu adalah 24.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 45,357 unit rumah yang dibuka untuk jualan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri S Nallakaruppan yang ingin tahu apakah perancangan DBKL untuk menambah unit rumah perumahan awam bagi memberi peluang lebih ramai penyewa sedia ada memiliki rumah sendiri, di sini.

Dr Loga berkata, pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan antara kementerian, DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan bagi menarik minta penyewa membeli unit rumah PPR MTEN dan PA DBKL.

Beliau berkata, inisiatif itu termasuk mewujudkan dana khas di bawah Skim Pembiayaan Khas (SPK) sebagai insentif menggalakkan pembelian rumah PA DBKL dan PPR MTEN dengan memberi kemudahan pinjaman perumahan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 6:45 AM