SHAHIDAN (tengah)  bersama penerima sumbangan ketika Program Baiti Jannati.
SHAHIDAN (tengah) bersama penerima sumbangan ketika Program Baiti Jannati.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited membiayai kediaman bagi keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur melalui Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB.

  Sehingga kini, 249 keluarga di Wilayah Persekutuan memiliki kediaman selesa dengan kos RM9.9 juta sejak 2014.

Daripada itu, sejumlah 879 rumah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya di seluruh Semenanjung membabitkan kos lebih RM39.22 juta.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, PBJ TNB yang dilaksanakan di seluruh Semenanjung adalah sejajar saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan memerlukan dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

  "Pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap penerima.

 "Besar harapan TNB supaya penerima pemilikan rumah hari ini dan keluarga masing-masing, tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

 "TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat, terutama susulan pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat.

 "Semoga pemilikan rumah ini menjadikan semua penerima lebih gembira, sesuai hasrat kami untuk menjadikan kehidupan rakyat Better, Brighter," katanya dalam kenyataan.

  Sementara itu, 30 lagi ketua keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur bersyukur dan terharu apabila bukan sahaja dapat memastikan ada bumbung melindungi keluarga masing-masing daripada hujan dan panas, bahkan mencapai impian memiliki kediaman terbabit.

  Mereka adalah penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) yang terpilih menjadi pemilik rumah melalui Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB.

Penyerahan 30 kediaman, dengan nama Baiti Jannati Keluarga Malaysia disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Pusat Komuniti Beringin, Kepong, baru-baru ini

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:00 AM