GAMBAR fail NSTP. FOTO Shahrul M Zain
GAMBAR fail NSTP. FOTO Shahrul M Zain
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meneliti dan mengkaji kandungan memorandum dikemukakan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) berhubung pelaksanaan kenaikan tambang bas ekspres.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, pada masa sama, pihaknya juga akan memberikan padangan terhadap isu dibangkitkan persatuan itu.

"Segala isu akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya beserta dengan cadangan bagi jalan penyelesaian terbaik kepada pengguna dan pengendali.

"Kami ingin menyatakan SPAD sentiasa peka terhadap segala permasalahan yang dibangkitkan oleh pengendali bas ekspres," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, PEMBAWA meminta kerajaan supaya memuktamadkan pelaksanaan kenaikan tambang bas ekspres sebelum Ramadan pada bulan depan.

Yang Dipertua PEMBAWA, Tajudin Mohd Yunus dilaporkan berkata, persatuan itu menghantar memorandum berkaitan hal berkenaan kepada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk diperhalusi kerana bimbang ada syarikat bas yang terpaksa gulung tikar jika keadaan itu berlanjutan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baru bas ekspres sehingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:17 PM