Kuala Lumpur: Tidak lebih 8,000 orang saja yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak ia diperkenal pada tahun 1960 sehingga dimansuhkan pada 2012, Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kebanyakan mereka yang ditahan ketika itu adalah komunis serta anggota pergerakan subversif.

“Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang pencegahan, namun penggunaannya adalah di peringkat minimum. Secara realiti tahanan di bawah undang-undang pencegahan terlalu kecil jika dibandingkan dengan mereka yang dituduh dan dipenjarakan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk S Vigneswaran.

Vigneswaran ingin tahu bila polis akan bertindak profesional dalam penyiasatan dan memastikan sabitan untuk memasukkan penjenayah ke dalam penjara daripada terlalu bergantung kepada perundangan pencegahan seperti negara-negara membangun yang lain.

Wan Junaidi berkata, undang-undang pencegahan diwujudkan bertujuan mencegah sesuatu kesalahan jenayah daripada terus berlaku atau menjadi tidak terkawal seperti kongsi gelap dan kegiatan militan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 6:36 AM