Jika berlaku diskriminasi, tidak mungkin jutaan penganut Hindu bebas mengunjungi  Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam di Batu Caves setiap kali perayaan Thaipusam.
Jika berlaku diskriminasi, tidak mungkin jutaan penganut Hindu bebas mengunjungi Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam di Batu Caves setiap kali perayaan Thaipusam.
Ahmad Suhael Adnan


“DI luar negara termasuk India pun tidak ada patung Dewa Murugan yang besar seperti di Batu Caves. Kewujudan Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam di Batu Caves adalah bukti masyarakat India khususnya yang beragama Hindu bebas mengamalkan ajaran agama itu,” kata Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Sehubungan itu beliau menafikan wujud diskriminasi terhadap kaum India dan agama Hindu di negara ini ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang tuduhan seumpamanya kerana ia boleh menjejaskan perpaduan antara kaum.

“Beliau cakap banyak sangat dulu. Saya harap Waytha Moorthy akan berubah dan mungkin beliau sudah berubah pendirian sebab sekarang sudah bekerja dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Vigneswaran berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Waytha dalam video yang dirakam 10 tahun lalu, mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.

Dalam video temubualnya dengan stesen televisyen Belanda itu, Waytha ketika itu mendakwa masyarakat India beragama Hindu dipaksa menukar agama untuk bekerja di agensi kerajaan serta 10,000 kuil dirobohkan, selain pelajar cemerlang kaum itu tidak diberikan penajaan pendidikan.

Vigneswaran yang juga Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Waytha jika Pengerusi HINDRAF itu boleh membantu kaum India di negara ini.

Ditanya sama ada menteri itu perlu dipecat, beliau berkata ia terpulang sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 7:09 PM