Mohd Anwar Patho Rohman

wananwar@@nstp.com.my

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke 'tidak kisah' jika Tan Sri SA Vigneswaran mahu menyamannya susulan tindakannya mendedahkan video yang mendakwa Presiden MIC itu melanggar protokol keselamatan di bilip kenamaan (VIP) Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 November lalu.

Beliau yang juga Ketua Parlimen DAP, berkata, beliau tidak boleh menghalang Yang Dipertua Dewan Negara itu mengambil sebarang tindakan termasuk mahu menyamannya berhubung insiden berkenaan.

"Terpulang kepada dia, suka hati dia. Itu hal dia, kalau dia nak ambil tindakan undang-undang, apa saya boleh buat," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Laporan Status Pelaksanaan 51 Syor Penambahbaikan Panel Penasihat Bebas (PPB) di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Kajang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian merangkap Pengerusi Bersama PPB, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

Loke berkata demikian sebagai mengulas laporan yang Vigneswaran menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana menyifatkan cuba memalukan dirinya.

Vigneswaran sebelum ini menafikan beliau melanggar protokol keselamatan menggunakan laluan VIP ketika menghantar anaknya belajar ke luar negara dan menganggap tindakan Menteri Pengangkutan itu sebagai publisiti murahan.

Loke turut menafikan tindakan beliau mendedahkan video itu sebagai satu cara untuk 'menendang keluar' Vigneswaran daripada jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang dilantik Barisan Nasinonal (BN) ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

"Ini tidak ada kena mengena dengan politik, saya kata ini berkenaan dengan 'rule of law' (kedaulatan undang-undang," katanya.

Berita berkaitan

Vigneswaran nak saman Menteri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 8:14 PM