VIGNESWARAN menjawab pertanyaan media ketika temu bual sempena kempen PRU-15. FOTO Bernama
VIGNESWARAN menjawab pertanyaan media ketika temu bual sempena kempen PRU-15. FOTO Bernama
BERNAMA

Sungai Siput: Pelan tindakan Orang Asli antara 35 inisiatif dijanjikan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran bagi menambah baik kesejahteraan dan keharmonian penduduk.

Presiden MIC itu berkata, melalui pelan berkenaan, satu entiti perbadanan untuk pembangunan sosioekonomi Orang Asli akan diwujudkan sekiranya beliau dipilih mewakili rakyat Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Ada beberapa permintaan Orang Asli yang akan kita usahakan antaranya projek perintis program penempatan berasaskan modal Felda dan sasaran untuk menempatkan Orang Asli sebagai Ahli Majlis Perbandaran supaya ada wakil menyelesaikan isu berkaitan masyarakat ini," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, malam tadi.

Vigneswaran berkata, pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan turut menjadi fokus antaranya menjadikan Sungai Siput sebagai Pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negeri Perak dan kerja memanjangkan jaringan sistem pengagihan gas asli Lembah Kinta ke Sungai Siput yang dijangka menjana 2,500 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, manifesto bertemakan #RestoreSungaiSiput adalah rancangan jangka masa pendek dan panjang yang mampu dilaksanakan secara berperingkat dalam memastikan tiada penduduk di kawasan Parlimen Sungai Siput terpinggir.

Mengenai perjalanan kempen yang memasuki hari kelima semalam, Vigneswaran berkata program di kawasan itu telah dirancang rapi bagi memastikan semua pengundi termasuk di kawasan perkampungan Orang Asli dapat dilawati.

Vigneswaran berhadapan enam calon lain iaitu penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput S Kesavan (PH-PKR), Datuk Seri G Irudianathan (PN-Bersatu) dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang) serta Baharudin Kamarudin, R Indrani dan N Rajah selaku calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 12:37 PM